gambar sebelum  gambar berikut
  • Foto
  • Foto
    Jovian bersama model yang menggayakan koleksi Medusa.
Tanda tanya siapa bakal merangkul kemenangan sebagai ‘Emerging Designer of The Year’ dan Designer of The Year menerusi Mercedes-Benz STYLO Fashion Awards Gala, akhirnya terjawab dengan kemenangan yang memihak kepada pelajar kolej SML Fashion Design School, Phuna Boon Yi dan pereka fesyen, Jovian Mandagie.

Kemenangan itu cukup mendebarkan kerana hadiah diperoleh, landasan terbaik untuk pereka di negara ini mengembangkan dan memperkenalkan jenama mereka di mata dunia. 
Kedua-dua figura ini akan diterbangkan ke Prague, Mexico, September depan untuk mempamerkan bakat dan koleksi mereka yang bakal disaksikan peminat fesyen luar negara. Mereka berpeluang berkongsi pentas dengan nama besar industri fesyen dari negara lain seperti pengalaman dilalui Emerging Designer of The Year 2012, Mohd Hanif Naim Mohd Dany di Mexico, tahun lalu. 


Mitos Yunani

“Bukan mudah menggapai semua ini. Selepas enam tahun bersusah payah, akhirnya hasil kerja saya mendapat perhatian dan bersyukur dengan kejayaan ini. Saya mahu semua orang tahu, fesyen bukan glamor semata-mata, tetapi bidang yang memerlukan kerja keras.

“Kemenangan ini membuatkan saya mahu lebih ke hadapan mengharumkan nama negara. Saya tidak pernah pergi ke Prague dan ia kali pertama dalam hidup saya,” kata Jovian yang mempamerkan koleksi diberi nama, ‘Medusa’ melalui 10 persalinan unik, berani, mempesona dan ‘menyeramkan’.

Katanya, ilham mereka pakaian sedemikian hadir apabila mendapat idea daripada kisah legenda raksasa atau gergasi bernama Gorgon yang umumnya, disifatkan berwajah wanita hodoh dan berambut ular berbisa. Ia kisah mitos Yunani, manakala Medusa berasal daripada perkataan Greek. 
Beliau berkata, pemahamannya berkenaan mitos zaman Greek ada manusia jelmaan ular itu, lalu dijelmakan dalam hamparan koleksinya kali ini. Tidak dinafikan, setiap koleksinya cukup menyerlah dan memerlukan penelitian tinggi dalam menghasilkan pakaian istimewa itu.

Mengambil masa dua bulan, Jovian dibantu beberapa pekerjanya bekerja keras dan lebih banyak menghabiskan masa untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza kepada peminat fesyen.

Idea barangan terpakai

Phuna, 22, juga tidak menyangka kemenangan itu dan amat teruja untuk ke Pregue untuk kali pertama bagi mempersembahkan rekaannya.

“Perjuangan saya masih baru bermula dan sebagai pereka muda, saya berharap kemenangan ini menjadi penanda aras untuk terus maju,” katanya.

Mengakui rakan kolej dan keluarga banyak mendorong, Phuna mengambil masa berbulan-bulan untuk menghasilkan koleksi berkonsepkan barangan terpakai menggunakan tiub paip jernih dan PVC.

“Ia memerlukan kesabaran, komitmen dan masa untuk menghasilkan lima pasang pakaian menggunakan barang terpakai ini. Saya memilih paip jernih untuk idea lain daripada yang lain, ia secara tiba-tiba muncul dan rekaan itu disukai juri.

“Cabaran saya ialah ketika proses mencantum antara satu paip ke paip yang memerlukan ketelitian, selain kena peka dan sabar ,” katanya.

Phuna berkata, idea itu turut di inspirasi dari siri manga Jepun, Death Note dengan mengambil watak Ryuk, iaitu Tuhan Kematian yang menurunkan buku seram itu ke dalam proses penghasilan koleksi sulungnya itu.

Laluan pentas antarabangsa

Berlangsung meriah di Aloft Kuala Lumpur Sentral dengan tema hitam elegen, majlis itu turut menobatkan beberapa anugerah kepada individu yang menyerlah dalam industri fesyen tanah air.

Kategori lain ialah Make Up Artist of The Year diungguli, Lisa Yap, Hair Designer of The Year (Faevien Yee), Most Promosing Designer of The Industry (Fairuz Ramdan), Best Designer Showcase (Tangoo), Best Male Model of the Year (Ahya Ulumuddin Rosli), Best Female Model of the Year (Rennee Chong) dan Industry Award (Albert Chiang).

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mercedes-Benz Malaysia, Roland Folger dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif STYLO, Datuk Nancy Yeoh.

Folger berkata, sejak Mercedes-Benz Malaysia melancarkan landasan dunia fesyen melalui STYLO dua tahun lalu, sudah banyak membantu menggerakkan industri fesyen Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Terdahulu turut dipersembahkan koleksi rekaan pereka, Melinda Looi, Jovian dan Hanif yang pernah dipersembahkan di pentas fesyen di Mexico. 

Menerusi hasil kreativiti menawan yang tidak gagal menjerat minat sesiapa memandang, setiap koleksi ada kelebihan tersendiri dalam mewarnai dunia fesyen.